Pada 11 - 12 Oktober 2012 , Pertandingan Inovasi Pedagogi dan Rekacipta peringkat IPG KBM telah diadakan dengan jayanya di Dewan Zaaba, IPG KBM. Pertandingan ini diharapkan menjadi medan bagi pelajar untuk beradu daya fikir, kreativiti dan sebagai batu asah kepada usaha mereka untuk mencipta produk yang lebih inovatif, fleksibel dan kreatif yang dapat dimanafaatkan dalam profesion keguruan.
Jabatan Ilmu Pendidikan tidak ketinggalan menyertai pertandingan ini. Cik Siti Salamah berserta pelajarnya dari Program Pensiswazahan Guru iaitu Hamarah bin Mohammad Arif ( Kad Abjad ) dan Nurul Asyeken Hassan ( Set 3D Variety Games ) telah terpilih bertanding Pertandingan Inovasi Pedagogi untuk kategori Pensyarah dan Pelajar, manakala Dr Shahlan Surat ( Keberkesanan strategi 4-META dalam penulisan Bahasa Melayu : satu pendekatan psikologi ) menyertai kategori Pensyarah. Tiada penyertaan dari JIP untuk kategori Rekacipta.
Tahniah dan Syabas untuk Cik Siti Salamah bersama Cikgu Nurul Asyeken yang menjuarai tempat pertama untuk kategori Pensyarah dan Pelajar, manakala Dr Shahlan Surat menduduki tempat kedua untuk kategori Pensyarah. Semoga kemenangan ini akan menjadi perangsang kepada rakan pensyarah yang lain untuk menyertai pertandingan ini dimasa akan datang.