ANAK DESA MENJEMPUT IMPIAN

Satu perahu berlayar ke timur, lainnya ke barat,

Padahal digerakkan oleh angin yang sama.

Bukan arah angin yang menentukan ke mana arah perahu,

tapi bentangan lebar layarlah yang membawa kita.

Seperti angin laut itulah alur kehidupan.

Saat kita mengharungi kehidupan,

bentangan jiwalah yang menentukan tujuannya,

dan bukan ketenangan atau hiruk pikuknya persekitaran kita.


16/07/10

Pendidikan Seks Untuk Remaja Bermasalah Pembelajaran

PENDIDIKAN SEKS UNTUK REMAJA BERMASALAH PEMBELAJARAN
Oleh :
Pn Shariza bt Said
Jabatan Ilmu Pendidikan
1.0 Pengenalan
Kriteria permulaan remaja ialah pencapaian kematangan seksual atau akil baligh iaitu masa dalam hidup individu apabila organ pembiakan mula berfungsi dan individu tersebut sudah berupaya melahirkan zuriat (Rahil Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Kehidupan remaja berkait rapat dengan perkembangan seksualiti di mana zaman remaja merupakan zaman eksplorasi dan eksperimentasi, fantasi dan realiti seksualiti (Santrock, 2000). Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa isu kesihatan seksualiti remaja telah menjadi isu yang diberi perhatian di Asia berdasarkan trend demografi di Asia iaitu jurang yamg makin luas antara kematangan seksual dengan umur perkahwinan dan kadar penggunaan kontraseptif yang rendah semasa remaja ( Gubhaju, 2002).
Menurut Gubhaju (2002), terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah tingkah laku seksual di kalangan remaja. Faktor pertama ialah peluang mendapatkan maklumat berkaitan seksualiti yang terhad menyebabkan mereka kurang pengetahuan dan tidak mengetahui sama ada maklumat yang diperolehi adalah tepat atau tidak. Maklumat berkaitan seksualiti yang betul bagi golongan remaja amat penting untuk mengelakkan berlakunya masalah-masalah seperti hubungan seks sebelum kahwin, kehamilan dan penyakit kelamin. Faktor kedua ialah tekanan daripada rakan sebaya kerana rakan sebaya memainkan peranan sebagai sumber maklumat utama berkaitan seksualiti. Walaupun ibu bapa dilihat sebagai sumber utama dalam menyampaikan maklumat berkaitan seksualiti tetapi mereka agak tertutup dalam membincangkan isu ini. Faktor ketiga ialah terhadnya perkhidmatan berkaitan kesihatan seksualiti yang disediakan khas untuk golongan remaja. Kebanyakan golongan ibubapa dan pembuat polisi bimbang dengan maklumat yang diberikan akan menggalakkan remaja terlibat dalam hubungan seks sebelum kahwin. Tetapi menurut Gubhaju (2002), tinjauan ke atas program pendidikan seks ke atas beberapa negara menunjukkan pendidikan seks tidak menggalakkan aktiviti seksual bahkan dapat melewatkan umur mula mengadakan hubungan seks dan menjurus kepada tingkah laku yang lebih bertanggungjawab terhadap seksualiti.
Dengan maklumat yang terbatas dan perkembangan emosi yang masih belum kukuh, remaja sudah dihadapkan pula pada berbagai godaan seperti filem-filem Barat yang menawarkan nilai-nilai yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai budaya Timur. Akibatnya remaja mungkin akan terjerumus dengan tingkah laku yang menyalahi nilai agama dan budaya. Perkembangan teknologi masa kini pula secara tidak langsung memperluaskan peluang remaja memperolehi bahan-bahan lucah di mana menurut Ahmad Rizal (2005) pada era teknologi maklumat kini menyaksikan seks menjadi bidang yang amat popular di kalangan pengguna internet . Mereka yang melayari internet terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk remaja. Ini kerana capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman web berunsurkan seks. Bagi memastikan anak-anak ini tidak terikut-ikut dengan gaya hidup seks bebas seperti yang dipertontonkan, maka pendidikan seks adalah perlu untuk memastikan anak-anak ini mendapat mesej yang positif dan maklumat yang betul tentang seks.

Menurut Tepper (2001) remaja berkeperluan khas mempunyai perasaan, keperluan dan naluri sama seperti remaja yang normal. Mereka turut melalui proses yang sama dalam perkembangan seksualiti. Dalam proses mencapai akil baligh tubuh badan mengalami beberapa perubahan yang disebabkan oleh perubahan hormon. Perubahan ini dialami oleh remaja secara sejagat dengan kadar yang berbeza bagi setiap individu. Bagi golongan remaja bermasalah pembelajaran keupayaan mental mereka lebih rendah dari umur kronologi di mana walaupun fizikalnya menunjukkan ciri-ciri remaja tetapi pemikirannya masih seperti kanak-kanak. Dalam hal ini pendidikan seks adalah perlu bagi membimbing remaja bermasalah pembelajaran dalam menangani masalah seksualiti mereka dengan cara yang positif dan bukan semata-mata memenuhi tuntutan naluri.
Menurut Jawatankuasa Belia International Planned Parenthood Federation, IPPF dalam Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia (2003) semua orang muda di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, warna kulit, orientasi seksual atau keupayaan mental dan fizikal mempunyai hak-hak berkaitan kesejahteraan seksualiti. Berdasarkan kepada pernyataan hak-hak tersebut menunjukkan golongan remaja sama ada golongan normal atau golongan berkeperluan khas mempunyai hak untuk mendapat maklumat yang sewajarnya berkaitan pendidikan seks. Walaupun mempunyai hak-hak seperti dinyatakan dalam pernyataan tersebut sebagai seorang individu yang hidup dalam masyarakat beberapa pernyataan hak tersebut perlu disemak dan diselaraskan mengikut perspektif agama, budaya dan sosio politik negara Malaysia.
Walaupun golongan remaja adalah golongan yang mewakili nisbah yang besar dalam populasi dunia, keperluan seksualiti mereka sering diabaikan (Warwick & Aggelton, 2002). Menurut mereka lagi walaupun ada perkhidmatan kesihatan seksual yang disediakan, remaja sukar mengakses perkhidmatan tersebut kerana tidak digalakkan oleh ibu bapa atau para profesional yang terlibat. Sebenarnya ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami pemikiran dan perasaan remaja dan belia dengan mengamalkan komunikasi secara terbuka, menjadi rakan yang sanggup melayan masalah remaja, menghormati idea dan paling penting memberikan bimbingan mengikut kepercayaan, budaya dan agama.
Pendidikan yang diterima di sekolah secara formal menjadi alat yang penting untuk menyiapkan diri remaja menghadapi masa depan tetapi bila menyentuh hal seksualiti, remaja didapati amat kurang atau tidak berinformasi mengenainya. Isu pendidikan seks juga masih tidak dapat diterima sepenuhnya oleh masyarakat di mana masih timbul keraguan dalam melaksanakannya. Ada pihak yang masih berpandangan sempit dalam hal pendidikan seks. Bahkan ada di kalangan guru sendiri yang mempersoalkan wajarkah pendidikan seks dimulakan seawal umur 4 tahun. Justeru itu pembentukan kurikulum dan modul pendidikan seks perlu melibatkan semua pihak agar kefahaman mengenainya dapat disebarkan dan dapat mengelakkan tanggapan negatif mengenainya.
2.0 Pendidikan seks
Pendidikan seks adalah proses memberi pengajaran, kesedaran dan penerangan tentang masalah-masalah seksual kepada anak bermula dari masa anak tersebut memahami tentang masalah berkenaan seks, naluri perkahwinan sehinggalah mereka dewasa serta dapat memahami urusan kehidupan serta memahami persoalan-persoalan yang dihalalkan dan yang diharamkan dalam Islam (Abdullah Nasih Ulwan, 2002). Menurut pandangan Islam manusia yang dilahirkan di dunia ini telah dibekali dengan berbagai fitrah termasuk fitrah seks (Hanafi Mohamed, 1994). Fitrah manusia terhadap seks adalah salah satu fitrah yang terpendam yang ada dalam diri manusia yang dibawa sejak lahir. Seks dikenali sebagai nafsu syahwat iaitu suatu kekuatan pendorong hidup yang dimiliki oleh manusia secara fitrah dan ianya merupakan kekuatan naluri yang paling dominan. Ini dapat dilihat dalam Al- Quran yang telah menjelaskan bahawa keinginan utama dan pertama seseorang manusia lelaki adalah wanita. Kenyataan ini disokong oleh firman Allah yang bermaksud seperti berikut:
“ Dihiaskan kepada manusia mencintai syahwat(keinginan nafsu) seperti wanita-wanita, anak-anak dan harta-benda yang banyak dari emas, perak, kuda yang bagus, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Demikian itulah kesukaan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat yang sebaik-baiknya.”
( Ali-Imran: 14 )
Secara fitrahnya naluri seks manusia berkembang dalam usia tertentu iaitu bagi lelaki naluri seksnya timbul dalam lingkungan umur 16 tahun manakala perempuan pula dalam lingkungan 12 tahun. Ini menunjukkan dalam hayat manusia, dorongan seksual memuncak pada peringkat zaman remaja. Kejahilan umat manusia melestarikan keinginan dan keperluan seksual akan menimbulkan berbagai gejala yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti hubungan seks sebelum kahwin, pelacuran, kehamilan luar nikah dan lain-lain lagi. Justeru itu dalam hal ini pendidikan seks kepada golongan remaja amat penting untuk membimbing mereka ke jalan yang betul menurut syariaat agama Islam. Islam memandang pendidikan seks secara universal di mana pendidikan seks adalah sebahagian daripada pendidikan akhlak iaitu mendidik manusia supaya mematuhi segala perintah dan sebaliknya menjauhi larangan Allah. Jelas di sini Islam mementingkan pendidikan seks kepada anak-anak agar mereka dapat membina peribadi sebagai insan yang mulia dan mengelakkan penyelewengan dalam hal-hal berkaitan seks. Pandangan Islam ini adalah universal di mana ia adalah sejajar dengan pandangan agama-agama lain tentang pendidikan seks.
Pengetahuan mengenai akil baligh dan perkembangan seksualiti adalah penting untuk kesejahteraan dan perkembangan remaja secara positif dan sihat. Menurut Winn, Roker dan Coleman, (1998) terdapat empat kepentingan pengetahuan berkaitan seksualiti di kalangan remaja iaitu:
i. pengetahuan amat penting untuk penyesuaian psikologikal semasa remaja kerana mengetahui perubahan yang terjadi pada tubuh badan sendiri membolehkan remaja membuat penyesuaian diri.
ii. Pengetahuan adalah menjadi pra-syarat untuk tingkah laku yang selamat di mana remaja patut tahu cara melindungi diri daripada sebarang ancaman.
iii. Memahami apa yang diketahui oleh remaja tentang akil baligh dan perkembangan seksual amat penting untuk merekabentuk dan menilai program pendidikan seks di sekolah.
iv. Pengetahuan penting kerana ia membolehkan remaja mengetahui apa yang berlaku dalam dunia seksualiti remaja.
Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau murid bagi memperlihatkan nilai akhlak yang terkandung di dalamnya dan institusi yang boleh menerapkan nilai ini adalah keluarga dan sekolah (Raja Yusoff Ariffin, 2005). Justeru itu ibu bapa dan guru memainkan peranan penting sebagai agen penyampai maklumat kepada anak atau murid. Setiap ibu bapa dan guru perlu melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan seksualiti agar mereka lebih yakin dan bersedia dalam menjalankan tugas mendidik.
Menurut Haffner (1992), pendidikan seks telah mula wujud pada tahun 1880- an di Amerika Syarikat . Sekitar tahun 1900-an antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan dan menjadi ibu bapa. Seterusnya pada sekitar tahun 1919 pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks telah dimulakan di sekolah-sekolah. US Public Health Services melabelkan pendidikan seks untuk sekolah sebagai suatu keperluan yang mendesak dan pada tahun 1953 American Medical Association dan American Education Association menerbitkan lima risalah dalam siri pendidikan seks. Tahun 1980 an dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat. Pada ketika ini negara-negara Barat seperti Amerika dan United Kingdom telah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara formal bermula dari peringkat sekolah rendah.
The Planned Parenthood Federation of America (PPFA) telah menggesa pendidikan seks dijalankan di sekolah sejak tahun 1970. Pada tahun 1986 kenyataan dikeluarkan oleh presiden persatuan tersebut supaya pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat tadika (lizditz.typepad.com, 2006). Di Britain pula satu forum diadakan di mana hasilnya ibu bapa, guru dan pekerja kesihatan mahu murid-murid menerima pendidikan seks yang berkesan di sekolah dengan mencakupi aspek nilai moral dan kepercayaan (BBC News, 2006). Pendidikan seks diwajibkan sebagai sebahagian daripada PSE iaitu Personal and Social Education dalam kurikulum kebangsaan Britain. Subjek pendidikan seks di Singapura juga telah dijalankan secara formal di sekolah sebagai satu subjek berasingan. Bagi murid Islam di Singapura yang mengikuti pendidikan agama di masjid atau pusat swasta , mereka mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan sebagai X-rated . Buku ini digubal sebagai sebagai satu bahagian dalam kurikulum sekolah agama (www.adnki.com, 2006).
Tinjauan yang dijalankan melalui internet pada tahun 2005 ke atas 317,000 responden daripada 41 buah negara menunjukkan kebanyakan orang mahu pendidikan seks dimulakan pada umur 11.7 tahun dan umur purata orang mula menerima pendidikan seks ialah 13.2 tahun (Durex, 2006). Menurut tinjauan itu responden Malaysia adalah yang ke empat dari 41 negara yang paling lewat menerima pendidikan seks iaitu pada usia 14.9 tahun. Tinjauan bagi cara-cara untuk meningkatkan kesedaran tentang seks menunjukkan responden Malaysia mahukan kerajaan melaburkan wang untuk pendidikan seks (31 %), bahan pengajaran disediakan di sekolah (36 %) dan perbincangan tentang seks yang selamat (22 %). Berdasarkan tinjauan ini penulis berpendapat rakyat Malaysia mahukan pendidikan tentang seksualiti dan pendidikan seks dijalankan di sekolah.
Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus untuk murid bermasalah pembelajaran perlu disediakan bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks. Mendidik dan berbincang tentang seksualiti anak-anak remaja yang normal adalah sukar kerana ibu bapa mungkin kurang arif dalam aspek bahasa yang patut digunakan atau alat bantu mengajar dan sumber yang mana sesuai digunakan. Apatah lagi bila berhadapan dengan anak-anak bermasalah pembelajaran. Begitu juga bagi guru-guru kerana mendidik murid bermasalah pembelajaran adalah sangat mencabar. Menurut Hallahan dan Kauffman (1986), guru-guru ini mesti ada kemahiran dalam bidang pengajaran seperti strategi pengajaran untuk murid yang terdiri daripada pelbagai jenis ketidakupayaan, pengurusan tingkah laku murid, penggunaan teknologi dan juga pengetahuan tentang undang-undang murid berkeperluan khas.
2.1 Pendidikan seks dan di Malaysia
Pendidikan seks di Malaysia setakat ini telah dijalankan secara merentasi kurikulum dalam beberapa matapelajaran. Buat masa ini belum ada kurikulum atau modul pendidikan seks yang khas disediakan sebagai panduan guru-guru. Namun begitu dalam mata matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan terdapat banyak aspek pendidikan seks yang diterapkan seperti isu perkahwinan, peranan dan tanggungjawab dalam keluarga, isu-isu remaja seperti pembuangan bayi, isu-isu kekeluargaan, seks abnormal, penyakit kelamin dan lain-lain.
Pada tahun 2003, Persekutuan Persatuan-Persatuan Perancang Keluarga Malaysia telah menyediakan Modul Kesihatan Reproduktif Remaja dengan dibiayai oleh United Nation Population Fund (UNFPA). Kementerian Pendidikan Malaysia turut menyokong modul ini yang digunakan untuk memantapkan Program Pendidikan Kesihatan Keluarga. Modul ini disediakan khusus untuk golongan pendidik dan jurulatih termasuk pendidik rakan sebaya di Persatuan-Persatuan Perancangan Keluarga Negeri dan agensi-agensi kerajaan serta bukan kerajaan yang terlibat menggalakkan kesihatan, tumbesaran dan perkembangan positif remaja. Modul ini terdiri daripada dua komponen iaitu Manual Jurulatih dan panduan jurulatih. Modul Kesihatan Reprodudktif Remaja ini didapati tidak meliputi perspektif Islam termasuk pengaruh yang khusus dalam akil baligh dan tumbesaran, pendidikan seksualiti serta larangan pengamalan seks sebelum perkahwinan.
Senario di Malaysia menunjukkan bahawa golongan remaja bukan sahaja terlibat dalam gejala sosial malah turut terdedah kepada penganiayaan seksual di mana mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005 menunjukkan dari tahun 2000 hingga 2004 terdapat sejumlah 11, 596 kes rogol di mana mangsa rogol kebanyakannya iaitu lebih 50 peratus adalah gadis di bawah umur enam belas tahun. Kes sumbang mahram juga semakin meningkat dari tahun 2000 hingga tahun 2004 iaitu berjumlah 1353 kes. Kebanyakan mangsa dalam kes ini adalah yang berumur awal remaja. Pada saat ia terjadi mereka tidak menyedari atau tahu itu ialah satu kesalahan yang dinamakan sumbang mahram. Akibatnya ada yang mendiamkan diri dan berusaha melupakankannya, namun lazimnya insiden sumbang mahram ini akan berulang (Siti Zubaidah Ismail & Muhamad Zahiri Awang Mat, 2005).
Menurut Lee dalam Gubhaju (2002), dapatan kajian ke atas remaja di Malaysia yang berumur antara 13 hingga 19 tahun menunjukkan bahawa 40 % responden telah mula keluar berpacaran dengan pasangan pada seawal umur 13 tahun. Pada umur 18 tahun, 84 % sudah mula berpegangan tangan, 85 % bercium dan mencium leher dan 83 % meraba. Manakala dalam tinjauan ke atas isirumah, 1 % mengaku telah mengadakan hubungan seks sementara dalam tinjauan media mendapati 24 % telah mengadakan hubungan seks di mana 18.4 % daripadanya mula mengadakan hubungan seks semasa berumur antara 15 hingga 18 tahun. Menurutnya lagi dalam satu kajian lain didapati 45 % responden berumur 15 hingga 21 tahun telah mula keluar berdua-duaan dan 9% dilaporkan telah mengadakan hubungan seks sebelum kahwin.
Kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk Dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 80 % remaja berumur 13 hingga 18 tahun telah terdedah kepada bahan lucah . Sebanyak 50% remaja berumur antara 13 hingga 15 tahun mengaku telah membaca buku lucah dan 44 % lagi mengaku telah melihat bahan lucah seperti majalah dan menonton video lucah (Utusan Malaysia, 1996). Seks merupakan bidang yang amat popular di kalangan pengguna internet (Ahmad Rizal, 2005). Mereka yang melayari internet terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuk remaja. Ini kerana capaian ke laman web berkaitan seks amat mudah dan pantas. Hal ini menjadi serius bila banyak masalah sosial wujud akibat pengaruh laman web berunsurkan seks.
Seksualiti adalah suatu perkara yang integral dan merupakan bahagian pengalaman semulajadi manusia di mana ianya bermula sejak lahir hingga ke hari tua seseorang. Seksualiti bukan hanya sekadar membicarakan hal-hal tentang hubungan seks sahaja. Ia merangkumi aspek yang lebih luas seperti perkembangan fizikal dan akil baligh, perkembangan emosi, perhubungan dengan rakan berlainan jantina, keintiman dan perasaan kasih sayang serta lain-lain lagi. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa persoalan mengenai seksualiti anak-anak menjadi suatu cabaran yang besar. Ramai ibu bapa atau penjaga bimbang mengenai keselamatan anak kurang upaya kerana mereka lebih berisiko menghadapi penganiayaan seksual. Anak-anak ini juga akan mengalami perubahan fizikal dalam mencapai akil baligh. Pengetahuan mengenai seksualiti dapat membantu dalam memahami dan menangani tingkah laku seksual anak-anak istimewa dan memberi ruang untuk berbincang mengenai perasaan dan tingkah laku seksual bila ianya berlaku. Adalah penting untuk memastikan anak-anak menerima mesej yang positif tentang seksualiti. Ibu bapa dan sekolah terutamanya guru boleh bersama-sama dalam usaha memperkenalkan isu seks ke arah yang positif.
2.2 Pendidikan seks daripada aspek agama
Menurut dali-dalil syara’ dalam Islam hukum menyampaikan atau berterus terang dengan anak-anak berkaitan seks dan keinginan batin adalah harus. Di dalam al-Quran pula terdapat hukum halal atau haram atau perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika memuaskan batin atau syahwat (Abdullah Nasil Ulwan, 2002). Menurut beliau lagi pendidikan seks boleh berjaya dengan pengawasan dan pemerhatian pendidik dan pengisian masa lapang anak-anak dengan perkara yang berfaedah.
Antara ayat-ayat al-Quran yang berkaitan seksualiti ialah :
  • Al-mukmininun : ayat 5 – 7
“ Dan yang menjaga kehormatannya (tidak melepaskan syahwat). Melainkan kepada isterinya atau kepada kepunyaan tangan kanannya. Maka sesungguhnya mereka itu tiada tercela. Tetapi orang-orang yang mencari selain dari itu, maka merekalah orang-orang yang melanggar batas.”
  • Al-Baqarah : ayat 222
“ Mereka menanyakan kepada engkau tentang haid (kedatangan bulan bagi perempuan). Katakan : itu agak kotor sebab itulah, jarakilah perempuan itu selama masa haid dan janganlah dekati mereka sebelum suci. Dan bila mana mereka telah mensucikan diri darinya, datangilah mereka sebagai yang diperintahkan Allah kepadamu; sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang kembali (taubat) kepadaNya dan Tuhan menyukai orang-orang yang membersihkan diri”.
  • Al-Dahr : ayat 2
“Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dari setitis air mani yang bercampur. Kami akan mengujinya, lalu dia Kami jadikan orang yang dapat melihat dan mendengar.”
  • Al-Isra : ayat 32
“ Dan janganlah kamu dekati perzinaan kerana sesungguhnya perzinaan itu perbuatan yang keji dan jalan yang salah.”
  • An-Nur : ayat 3
Laki-laki yang berzina hanya mengahwini perempuan yang berzina(pula) atau perempuan yang musyrik. Dan perempuan yang berzina hanya dikahwini oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik. Dan yang demikian itu dilarang untuk orang-orang yang beriman.”
  • Al-A’raf : ayat 80-81
“ Dan Kami mengutus Luth. Ingatlah ketika dia mengatakan kepada kaumnya. Mengapa kamu kerjakan kekejian (pelanggaran kesopanan) yang belum pernah diperbuat oleh seorang pun dari bangsa-bangsa. Bahawa kamu melepaskan syahwatmu kepada orang laki-laki, bukan kepada perempuan. Bahkan kamu ini kaum yang melampaui batas.”
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran di atas jelas menunjukkan Islam mementingkan adab dan tata susila dalam merealisasikan naluri seks manusia. Islam memberikan panduan mengenai seksualiti yang boleh didapati daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Sebenarnya pendidikan seks telah diterapkan dalam ajaran agama Islam sejak dari awal kejadian manusia lagi. Umat Islam dibimbing dari pelbagai aspek seksualiti bertujuan melahirkan insan yang baik akhlak dan budi pekerti dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.
Dari sudut agama Kristian terdapat beberapa pernyataan berkaitan seks seperti:
  • Sex used to be the glue that held our marriages togethers ( 1 Corinthians 7 : 5)
  • A Christian’s body belongs to God ( 1 Corintihians 6:19), and He will send fornicators to hell ( 1 Corinthians 6:9-10)
  • Because if you rebel against God, he will allow you to become possessed by urges that will enslave you ( Romans 1 : 28 – 32)
  • Because if you allow your nature to rule, you will receive back like a growing cancer, sickness and pain (Galatians 6: 7-8)
  • Because you are made in the image of God and as such have power to stop the curse that possess our dying nation. When you received the Holy Spirit at salvation, He gave you strength and wisdom to overcome the world and it’s lusts ( 1 Johan 4:)
  • Because God put sexual power in you to help you fall in love and stay in love with your future spouse and create and mentor a healthy family.
  • Because satan uses that same sexual power to enslave and destroy the lives of the foolish
Kesimpulannya menurut ajaran Kristian, seks adalah anugerah Tuhan untuk cinta sejati dan kejujuran. Seks dilihat sebagai agen yang dapat mengukuhkan sesuatu perkahwinan atau sebaliknya sebagai asid yang memusnahkannya. Naluri anugerah tuhan ini perlu dihormati dan dilindungi dengan kata lain seks di luar perkahwinan adalah dilarang. Seks dicipta Tuhan untuk mengekalkan keseronokan dan keindahan sesuatu perkahwinan. Seks bukan semata-mata tindakan atau hubungan fizikal tatapi merangkumi satu set pemikiran, hati, keluarga dan masyarakat. Jadi sepatutnya remaja perlu menjauhi amalan seks yang salah seperti hubungan seks sebelum kahwin.
Penulis menyimpulkan bahawa ajaran agama adalah untuk membawa kebaikan kepada semua penganutnya. Jelas menunjukkan seks sebelum kahwin adalah dilarang kerana darinya akan wujud pelbagai masalah sosial seperti kehamilan luar nikah dan pembuangan bayi. Pendidikan seks adalah penting untuk membimbing manusia dalam melayari kehidupan yang penuh godaan dan cabaran. Panduan dan bimbingan agama dalam aspek seksualiti dapat membantu manusia menangani naluri seks mengikut cara yang betul seterusnya dapat mengelakkan perkara-perkara yang buruk seperti masalah sosial yang berlaku sekarang.
Namun jika manusia membelakangkan agama dan tidak menerapkan nilai-nilai murni dalam melestarikan naluri seks mereka, nescaya mereka akan terjerumus dalam pelbagai masalah sosial. Sebab itulah pendidikan seks yang berasaskan nilai lebih baik berbanding pendekatan yang bebas dari nilai. Ini kerana pemikiran remaja yang masih belum sepenuhnya dapat membezakan baik atau buruk sesuatu perkara memerlukan bimbingan dan panduan. Tambahan lagi dengan pengaruh rakan sebaya, media dan persekitaran menguatkan lagi sebab kenapa mereka ini perlu diberikan panduan dai aspek agama dan nilai.
2.3 Pendidikan seks remaja bermasalah pembelajaran
Kanak-kanak khas bermasalah pembelajaran di Malaysia adalah daripada kategori Sindrom Down, Autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti Disleksia. Kementerian Pelajaran Malaysia bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pendidikan bagi golongan murid ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, dan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran menunjukkan masalah tingkah laku, masalah neurologikal, fizikal, psikologikal dan masalah persekitaran.
Penekanan diberikan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya murid khas dapat memaksimumkan pencapaian bagi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan hidup berdikari. Program yang dijalankan adalah berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Bab 8, Akta Pendidikan Pindaan (2002) dan keputusan Jawatankuasa dari Kementerian atau Jabatan yang terlibat di Malaysia.
Program PKBP di Malaysia juga mengambilkira dasar-dasar peringkat antarabangsa meliputi :
· United Nation’s World Programme of Action Concerning Disabilities Person (1983)
· The World’s Declaration on Education for All (1990)
· The United Nation’s Standard rules on The Equalisation of Opportunities for Person with disabilities (1983)
· The Framework for Action on Special Needs Education ( Salamanca Statement) 1994
· Biwako Millennium Framework for Action towards an Inclusive Barrier Free and Rights-Based Society for Person with Disabilities in Asia and in Pacific (2002)
( dipetik dari : Buku Maklumat Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas, 2005)
Penubuhan Program Pendidikan Khas adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 di mana murid-murid berkeperluan khas berhak mengikuti dan menerima pendidikan bersesuaian dengan keperluan mereka. Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997, mengkategorikan murid pendidikan khas Kementerian Pelajaran sebagai murid yang mempunyai masalah deria atau kognitif atau kedua-duanya iaitu :
i. penglihatan
ii. pendengaran
iii. pembelajaran ( yang boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain)
Murid dengan masalah penglihatan dan pendengaran umumnya mempunyai keupayaan kognitif yang normal dan boleh mengikuti Kurikulum Kebangsaan dengan beberapa perubahan dibuat selaras dengan keadaan kecacatan yang dihadapi oleh mereka. Bagi murid bermasalah pembelajaran pula mereka ini mempunyai keupayaan kognitif yang jauh lebih rendah daripada murid biasa. Berasaskan model perubatan, murid bermasalah pembelajaran KPM adalah terdiri dari Sindrom Down, Autistik ringan, kurang upaya mental minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik dan/atau bermasalah tingkah laku.
Dalam konteks Malaysia murid bermasalah pembelajaran yang ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP), Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dari kategori Sindrom down, autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan bermasalah pembelajaran spesifik seperti disleksia. Murid-murid ini mengikuti kurikulum alternatif yang dibentuk untuk memenuhi keperluan golongan ini iaitu menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna.
Kurikulum alternatif untuk murid berkeperluan khas dibina dengan rekabentuk yang fleksibel dan berlandaskan tiga konsep utama iaitu:
  1. pendidikan menyeluruh dan bersepadu bertujuan memberi fokus kepada potensi individu meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan social
  2. Pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna merujuk kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang meransang dan mengekalkan minat murid. Suasana pembelajaran yang kondusif perlu diberi penekanan agar murid dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan untuk keperluan diri dan kehidupan bermasyarakat. Ini dapat melahirkan murid yang berkeyakinan dan berfikiran terbuka
  3. Pendidikan sepanjang hayat merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran di alam persekolahan yang dapat menjana peluasan ilmu secara berterusan untuk digunakan dalam kehidupan seharian.
Prinsip-prinsip di atas perlu dilaksanakan melibatkan tiga aspek iaitu pembelajaran, pendekatan pembelajaran dan pengajaran, dan penilaian berteraskan kepada keperluan individu. Perhubungan antara ketiga-tiga aspek ini adalah bersifat interaktif dan dalam keadaan fleksibel di mana bentuk pengajaran adalah tidak terikat dan boleh dibentuk mengikut keperluan murid yang berbeza. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran boleh dibentuk mengikut keperluan murid melalui empat bidang iaitu :
i. bidang pengurusan kehidupan, ( komponen – pengurusan diri, kemahiran manipulatif, pengurusan tingkah laku dan kemahiran hidup)
ii. bidang akademik berfungsi, ( komponen- Bahasa Melayu, Matematik , Bahasa Inggeris, Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
iii.bidang kerohanian dan niali-nilai murni dan ( Komponen – pendidikan agama Islam dan pendidikan Moral)
iv. bidang sosial, riadah dan kreativiti ( komponen- Pendidikan Jasmani, Pendidikan Seni, Pendidikan Muzik, gerakan dan drama, Pendidikan sains, Sosial dan alam sekitar
Elemen pendidikan seks diterapkan dalam ke empat-empat bidang ini di mana pelaksanaannya bergantung sepenuhnya kepada kemahiran guru dalam menyampaikan pengajaran. Namun begitu guru-guru ini tidak menerima sebarang latihan khusus tentang strategi pengajaran pendidikan seks semasa dalam latihan perguruan. Melalui tinjauan awal penulis didapati sumber maklumat berkaitan pendidikan seks yang khusus kepada golongan remaja bermasalah pembelajaran juga kurang.
Sepertimana remaja normal, remaja kurang upaya termasuk golongan bermasalah pembelajaran tidak terkecuali daripada masalah-masalah seksualiti. Menurut Schloss, Smith & Schloss (1995) isu berkaitan seksualiti mesti diberi pertimbangan yang sewajarnya bagi remaja kurang upaya disebabkan peluang untuk peluahan seksual terhad kerana kekurangan kemahiran interpersonal, kekurangan sumber, dan tiada model yang bersesuaian untuk menunjukkan tingkah laku yang dapat diterima. Beberapa kajian menunjukkan berlakunya penderaan seksual di kalangan golongan bermasalah pembelajaran dan sebaliknya mereka juga boleh menjadi pesalah seks di mana mereka melakukan salahlaku seksual ke atas rakan-rakan kurang upaya yang lain .
Menurut laporan Family Planning Queensland (2005) kajian terhadap masyarakat Australia mendapati orang kurang upaya menghadapi 3 hingga 7 kali risiko menjadi mangsa penganiayaan seksual di mana 54 % lelaki dan 50 % perempuan cacat pendengaran mengalami penganiayaan seksual. Sebanyak 39% orang dengan kepelbagaian ketidakupayaan mengalami penganiayaan seksual. Kajian oleh Zuria Mahmud dan Norshidah Mohd Salleh (2004) menunjukkan masalah tingkah laku seksual murid berlaku di kalangan murid khas . Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran, PKBP ditubuhkan di sekolah harian biasa dengan berkongsi bangunan serta kemudahan infrastruktur yang sama. Secara tidak langsung tingkah laku seksual remaja PKBP akan memberi kesan bukan sahaja kepada guru khas malah turut melibatkan warga sekolah yang lain
Pendidikan seks juga merupakan satu cabang ilmu pengetahuan yang perlu diberi mengikut kesesuaian individu tetapi tidak ada suatu kurikulum atau modul pendidikan seks yang disediakan khas untuk golongan remaja bermasalah pembelajaran. Tidak hairanlah wujudnya masalah tingkah laku berkaitan seksualiti di kalangan remaja ini akibat peluang mendapat pengetahuan yang terhad berkaitan seksualiti dan kurangnya didikan tentang seksualiti yang tersusun sejak awal persekolahan.
Rekabentuk model kurikulum yang dibina untuk murid-murid bermasalah pembelajaran adalah bersifat fleksibel bagi membolehkan guru mengembangkan bakat dan potensi sedia ada murid. Namun dalam hal pendidikan seks, guru-guru ini tidak dilengkapkan dengan teknik atau strategi pengajaran pendidikan seks apatah lagi sumber-sumber untuk menyampaikan maklumat tentang seksualiti juga agak terhad. Keadaan ini akan menggugat keberkesanan dalam penyampaian maklumat berkaitan seksualiti. Ini di sokong oleh dapatan kajian Zuria Mahmud dan Norshidah Mohamad Salleh, (2004) iaitu antara cabaran yang dihadapi oleh guru khas ialah sukar mengawal tingkah laku seksual murid, kurang pengetahuan dan kemahiran berkaitan murid khas kerana tiada kursus atau latihan tertentu dan kurangnya alat bantu mengajar yang sesuai dengan murid berkeperluan khas.
Guru atau pendidik bagi pendidikan seks yang berkesan mestilah seorang yang percaya dengan program tersebut dan menerima latihan yang mencukupi. Latihan pula perlu diberi bukan sahaja tentang program pendidikan seks tetapi turut merangkumi strategi pengajaran (Kirby dalam WHO, 2001). Menurut Kamn dalam WHO (2001) , kajian menunjukkan latihan guru untuk pelaksanaan kurikulum baru secara positifnya akan memberi kesan kepada kesediaan guru untuk mengajar seterusnya memberi kesan yang positif juga terhadap pelaksanaan kurikulum dan hasil pembelajaran murid. Namun terdapat halangan-halangan kepada kejayaan pendidikan seks iaitu kekurangan infrastruktur untuk latihan guru dan kurangnya bahan pengajaran yang berkualiti. Dapatan ini disokong oleh James-Traore, Finger , Ruland dan Savariaud (2004) di mana kajian mendapati latihan guru mempengaruhi sikap guru terhadap pendidik seks secara positif. Menurut mereka kajian ke atas 35 orang guru di Thailand yang menerima latihan menujukkan tahap pengetahuan yang lebih baik dan sikap yang positif terhadap pendidikan seks.
Menurut WHO (2001) penilaian terhadap pendidikan yang professional menunjukkan latihan kepada guru mesti disusuli dengan kaedah mengajar dan sokongan dari segi teknikal untuk memberi kesan dalam pengajaran dalam bilik darjah. Guru yang terlatih dapat melaksanakan pendidikan seks dari segi kandungan pelajaran dengan efektif dan kaedah pengajaran yang berkualiti. Di samping kelayakan profesional, guru juga perlu ada sifat-sifat yang tertentu bagi menjayakan pendidikan seks kerana peranannya sebagai role-model, orang yang berkemahiran dan cekap, boleh dipercayai dan boleh mengakses sumber serta sokongan. Oleh itu guru perlu ada pengetahuan yang tepat dan selesa dalam membincangkan perkara-perkara berkaitan seksualiti.
3.0 Penutup
Sejak kebelakangan ini isu pendidikan seks menjadi isu yang penting di mana menurut Rowe dan Savage, (1987) perhatian turut diberikan kepada golongan yang mengalami masalah ketidakupayaan mental yang diberi perakuan mempunyai hak berkaitan seksualiti. Pendidikan seks adalah penting untuk perkembangan remaja dalam menyiapkan diri mereka menghadapi pelbagai cabaran masa depan apatah lagi bagi golongan remaja bermasalah pembelajaran yang memerlukan lebih bimbingan disebabkan ketidakupayaan mereka dalam aspek kognitif atau keupayaan mental yang lebih rendah.
Aspek amalan yang baik dalam pendidikan seks menurut The Working Group of sex education in Scottish schools (2002) ialah mengambilkira pendapat ibu bapa, guru dan masyarakat dan pembinaan program pendidikan secara menyeluruh dengan komitmen semua pihak. Garis panduan tentang kurikulum pendidikan seks mesti jelas dengan sumber-sumber yang bersesuaian mengikut acuan budaya Timur serta dapat diakses oleh para guru dan ibu bapa kerana dalam pendidikan khas kolaborasi antara ke dua pihak ini dapat menentukan kejayaan sesuatu program. Pendidikan seks harus dimulakan dari peringkat awal kanak-kanak mengikut topik-topik yang bersesuaian dan mesti ada kesinambungan pengajaran dan pembelajaran antara pihak ibu bapa dan guru.
Justeru itu kedua-dua pihak ibu bapa dan guru perlu mendalami kurikulum pendidikan seks dengan mengambilkira elemen agama dan budaya agar tidak timbul salah faham mengenai konsep pendidikan seks. Menurut Scottish Executive, (2000) di Scotland pendidikan seks dilihat sebagai satu elemen dalam pendidikan kesihatan dalam konteks yang lebih luas di mana ianya menyumbang kepada perkembangan fizikal, emosi, moral dan rohani. Mereka juga menyarankan pendidikan seks dimulakan pada peringkat awal kanak-kanak oleh ibu bapa dan penjaga dan berterusan hingga memasuki sekolah mengikut kesesuaian. Pendidikan seks yang diterapkan mesti berlatar belakangkan budaya dan agama terutamanya dalam konteks Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya seiring dengan prinsip Rukun Negara.
Pendidikan seks adalah penting untuk kesejahteraan remaja khasnya remaja bermasalah pembelajaran. Kurikulum dan modul pendidikan seks yang khusus kepada golongan ini perlu dibina dan dimandatkan agar semua pihak tidak ambil lewa dalam proses penyampaian maklumat seksualiti kepada remaja. Kurikulum ini tidak semestinya dijadikan satu matapelajaran tetapi boleh dijadikan sebagai salah satu topik dalam matapelajaran yang sedia ada. Matapelajaran yang sesuai bagi penulis ialah pendidikan agama dan moral kerana pendidikan seks yang dijalankan secara mengasingkan agama menunjukkan kegagalannya mencapai matlamat seperti di Amerika Syarikat.
Dalam pembentukan kurikulum atau modul ini, pihak penggubal dasar perlu melibatkan wakil-wakil guru, ibu bapa, pakar agama dan para professional dalam bidang pendidikan khas. Pandangan guru dan ibu bapa amat penting kerana mereka yang terlibat secara langsung dalam pendidikan anak-anak atau murid bermasalah pembelajaran. Kurikulum yang dibina perlu dihebahkan kepada masyarakat agar tidak timbul lagi salah faham tentang pendidikan seks.
RUJUKAN
http://www.adnki.com. , (2006). Singapore : Islamic Sex Education Textbook Launched. Dipetik pada 5.4.2006
www.psyking.net/id.htm , (2006). Adolescence; Overview, History, theories dipetik pada 27.1.2006
http://www.christianebooks.com/christiansexeducation.html. , (2006). Become A Chaperone ; Sex Education For Christians Kids in Public Schools. Dipetik pada 5.4.2006
http://lizditz.typepad.com , (2006). Speak Of Dreams : Making Shools Safe For Christians. Dipetik pada 5.4.2006
68,000 bayi luar nikah. Kosmo. 17.4.2006
Abdullah Nasih Ulwan (2002). Pendidikan Anak Menurut Islam. Edisi 9, Jilid 2 (Terjemahan Syed Ahmad Semait). Pustaka Nasional Pte. Ltd. : Singapura
Ahmad Rizal Mohd Yusof, (2005). Internet dan Seks . Seminar Seksual Kebangsaan 2005, 30hb Julai 2005. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya : Kuala Lumpur
BBC News ,(2006). Schools Urged To Tell Children More About Sex. UK
Durex (2005). Sex survey 2005. dipetik pada 18.4.2006 dari www.durex.com
Family Planning Queensland, (2005) Sexuality and Disability Workbook . FPQ : Australia
Gubhaju, B. B. (2002). Adolescent Reproductive Health in Asia. Asia-Pacific population Journal 17 (4) : 97-108
Haffner, D. W. (1992). Sexuality Education In Public schools. The Education Digest, September 1992
Hallahan, D. P & Kauffman, J. M. (1986). Exceptional learners. Allyn & Bacon :Boston
Hanafi Mohamad, (1994). Kefahaman Dan Pendidikan Seks Dalam Islam. Dinie Publisher : Kuala Lumpur.
James-Traore, T. A., Finger, W., Ruland, C. D. & Savariaud, S. (2004). Teacher training : essential for school-based reproductive health and HIV/AIDS education, Focus on Sub-Saharan Africa. Youth Issues : Paper 3, Family Health International, Youthnet Program, USA
Kementerian Pelajaran Malaysia, (2005). Buku Maklumat Pendidikan Khas Jabatan pendidikan Khas,
Kementerian Pendidikan Malaysia, (2003). Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah rendah dan Menengah. Jabatan Pendidikan Khas,
Persekutuan Persatuan- persatuan Perancangan Keluarga Malaysia, (2003) Modul Kesihatan Reproduktif Remaja. FFPAM: Malaysia
Rahil Mahyuddin, Marina Chong Abdullah & Habibah Elias, (2000). Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. McGraw-Hill companies (Malalaysia) Sdn. Bhd.
Raja Yusoff Ariffin, (2000). Konsep Pendidikan Seks Dalam Islam. Dipetik dari (12.2.2006) http://websekolah.bharian.com.my
Rowe, W. S. & Savage, S. (1987). Sexuality and The Developmentally Handicapped. A Guidebook for Health Care professionals. The Edwin Mellen Press: New York
Santrock, J. (2000). Adolescence 6th Edition. Mc Graw-Hill. USA
Schloss, P.J. , Smith, M.A. & Schloss, C.N. ( 1995). Instructional Methods For Adolescents With Learning & Behavior Problems. ( 2nd Edition). Allyn & Bacon : Needham Height, USA
Scottish Executive, (2000). Report On The Working group On Sex Education In Scottish School: Scotland
Siti Zubaidah Ismail & Muhamad Zahiri Awang Mat, (2005). Memahami Kesalahan Seksual dalam Konteks Undang-undang Jenayah dan Cadangan Penerapannya Ke dalam Sistem Pendidikan di Malaysia . Seminar Seksual Kebangsaan 2005, 30hb Julai 2005. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya : Kuala Lumpur
Tepper, M. S. (2001). Becoming sexually able : Education to help youth with disabilities. Sex Information and Education Council of the United State, SIECUS Report.
The World Health Organization [WHO] , ( 2001) Skills For health ; Information Series on School Health Document 9 . WHO: Geneva
Warwick, I., & Aggleton, P. (2002). The role of education in promoting young people’s sexual and reproductive health; Safe passages to adulthood. Institute of Education : University of London.
WHO (2001). Skills for health. The World Health Organization’s : Information series on school health; Document 9: Geneva
Zainuddin Hamidi Fachruddin, H.S. (1991). Tafsir Quran Widjaya . Klang Book Centre : Klang
Zuria Mahmud & Norshidah Mohamad Salleh, ( 2004). Aspirasi ibu bapa, guru dan Para professional Terhadap Perkembangan Kanak-kanak Keperluan Khas: 523-544

Tiada ulasan:

Catat Ulasan